Feb 4, 2010

Mukmin: Di antara Khauf dan Roja’

Hati Mukmin sentiasa bergantung kepada Penciptanya…

Sebelum ini saya telah berbicara tentang sikap optimis tafa’ul yang perlu ada pada seseorang Mukmin, iaitu tentang harapan masa depannya dan bagaimana dia mengatur serta merancang hidupnya berdasarkan sunnah sebab dan musabbab (Qadar) yang telah disediakan Allah untuk kehidupan ini… dan Allah tidak sekali-kali merubah sunnahNya untuk perjalanan alam ini.

“Dan kamu tidak akan dapati bagi sunnah Allah itu sebarang perubahan…”

Ini semua tidak bermakna seseorang itu boleh menentukan natijah hidupnya sendiri dan boleh terlepas daripada ketentuan Allah terhadapnya. Allah sengaja merahsiakan ketentuan hidup bagi seseorang tetapi dalam masa yang sama Allah memerintahkan supaya hambanya berusaha mencapai kejayaan Al-Falah berdasarkan Qanun sebab dan musabbab. Al-Falah ini dan kaedah untuk mencapainya sama sahaja sama ada untuk hidup di dunia begitu juga untuk hidup di akhirat.

Allah memerintahkan kita supaya berusaha untuk mencapai kejayaan Al-Falah untuk hidup di dunia di dalam memakmurkan muka bumi dengan apa yang memberi manfaat kepada kehidupan, sama ada dalam konteks individu, keluarga, masyarakat atau negara dan ummah seluruhnya. Setiap yang berusaha ke arah itu mengikut kaedah sebab dan musabbab yang betul seperti diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah akan diberi pahala walaupun natijahnya mungkin dia gagal untuk mencapainya atau dia tidak sempat untuk mengecapi hasil kejayaannya…

Begitu juga melalui kaedah yang sama Allah telah menunjukkan sebab-sebab serta jalan bagaimana seseorang itu boleh mencapai kejayaan Al-Falah untuk hidupnya di akhirat. Beriman, beramal soleh, bertaubat dan menggunakan apa saja kurniaan Allah kepadanya di dunia ini untuk berbakti kepada kehidupan ini dengan tujuan untuk mendapat thawab (balasan pahala) untuk kehidupan akhirat. Itulah sebab-sebab serta jalannya untuk mendapat Al-Falah sama ada untuk hidup di dunia atau hidup di akhirat.

Malah seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Qayyim: Bahawa segala isi al-Quraan dan al-Sunnah adalah merupakan himpunan penerangan tentang sebab musabbab bagaimana untuk mendapat kejayaan hidup di dunia dan juga akhirat serta akibat buruk yang akan menimpa seseorang atau sesuatu kaum apabila meninggalkan sebab-sebab atau tidak melalui jalan kejayaan itu. Sama ada dalam bentuk cerita tentang sesuatu kaum yang terdahulu atau Taujihat dalam bentuk dan uslubnya yang lain. Hati Mukmin di dalam perjalanan…

Tetapi bagi mukmin dalam dia melalui jalan atau dalam dia menyusun sebab musabbab kejayaan untuk dua kehidupan itu, sedikitpun dia tidak bergantung kepada dirinya sendiri atau kepada sebab-sebab yang diambil. Dia hanya bergantung bulat kepada Pemilik dirinya dan juga Tuhan segala sebab. Baginya sebab-sebab yang diusahakan adalah makhluk dan Allah sebagai Pencipta (Al-Khaliq) tidak pernah dan tidak akan sekali-kali menyerahkan kepada makhlukNya untuk menentukan perjalanan hidup ini… lebih-lebih lagi hidup di akhirat yang tidak terbayang adanya campur tangan makhluk.

Mukmin memahami di samping sebab-sebab yang nyata yang boleh diusahakan untuk sesuatu tujuan, di sana ada sebab-sebab yang tidak nyata atau tidak terfikir dan terlintas atau di luar kemampuannya yang boleh mengesani usahanya untuk mencapai sesuatu tujuan. Oleh itu hatinya tidak akan terlepas walaupun sedetik daripada pergantungannya dengan Yang Maha Pencipta (Al-Khaliq) dan Yang Maha Penentu (Al-Qaadir). Inilah apa yang diajar oleh Murabbi Agung Rasulullah s.a.w dalam dia mengajarkan anak kesayangannya Fatimah r.a dengan sebuah doa yang menerangkan hakikat kebergantungan seorang hamba dengan Penciptanya:

“Ya Allah Yang Maha Hidup dan Maha Yang Berkuasa. Dengan rahmatMu aku sungguh-sungguh memohon. Perelokkanlah keseluruhan keadaanku (hidupku) dan janganlah sekali-kali Engkau serahkan (tinggalkan) diriku kepadaku sendiri walaupun sekelip mata atau kurang daripada itu…”

Dan di atas asas ini jugalah seseorang mukmin memahami peranan doa di dalam hidupnya dalam dia menyusun langkah-langkah menuju kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Malah sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah akan nampak dengan jelas bahawa doa adalah merupakan antara sebab yang paling kuat di dalam adunan sebab-sebab untuk seseorang mencapai kejayaan dan juga menolak sebarang kegagalan.

Rujukan:
Ustaz Rusydan
Ikatan Muslimin Malaysia

No comments:

Post a Comment