Feb 9, 2010

Allah Tuhan Semua Tapi Hanya Orang Islam Yang MenyembahNya

Photobucket


Agak lewat untuk saya memberikan pandangan di dalam isu penggunaan kalimah Allah ini. Mungkin juga tidak begitu popular sekarang sebab rakyat Malaysia dalam sehari dua ini lebih menumpukan perhatian kepada perbicaraan kes tuduhan liwat Datuk Seri Anwar. Ditambah dengan sudah terlalu banyak tulisan yang mengulas isu ini samada dari pihak penyokong atau pihak yang tidak membenarkan.

Bolehkah orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah? Apa maksudnya? Saya kurang faham, lalu ingin bertanya dan membuat andaian …



Adakah maksudnya orang bukan Islam ingin kata yang mereka yakin bahawa Allah adalah Tuhan sekelian alam dan tuhan-tuhan yang mereka sembah adalah sekutu Allah? Mereka yakin Allah adalah Tuhan Yang Maha Agong tetapi mereka tidak mahu menyembahNya tapi hanya mahu menyembah tuhan-tuhan mereka yang pelbagai? Lalu Tuhan Yang Maha Agong itu mereka namakan Allah, manakala yang lain ada nama masing-masing?

Atau, adakah maksudnya mereka kata bahawa tuhan yang mereka sembah (Yesus, dewa Siwa, Brahman dan sebagainya) itu namanya Allah dalam bahasa Melayu? Dengan erti kata lain, yang tergantung di palang salib itu Allah, yang duduk di atas kuil itu juga Allah, yang ada banyak tangan itu juga Allah?

Yang mana satu yang sedang diperbincangkan oleh orang Malaysia sebenarnya? Yang kata boleh tu, boleh yang mana satu? Bila orang bukan Islam minta mereka pun boleh guna kalimah Allah, mereka maksudnya yang mana satu? Penggunaan nama Allah di dalam majalah Herald Catholic secara khusus, apa maksudnya?

Kalau yang dimaksudkan oleh mereka adalah Allah yang mencipta langit dan bumi dan segala isinya, lalu mereka pun nak sebut-sebut kalimah Allah …. silakan. Saya tidak ada masalah di situ.

Tapi kalau yang dimaksudkan adalah yang digantung di atas salib dan yang duduk di dalam kuil itulah yang mereka nak namakan Allah, saya ada banyak bangkangan di situ.

Betulkah di dalam al-Quran ada ayat yang membenarkan orang bukan Islam menamakan tuhan mereka Allah?

Saya cuba mencari-cari hujah orang-orang yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam. Saya dapati hujah mereka berlegar di sekitar beberapa potong ayat al-Quran:

Al-Ankabut: 61-63
(Dan sesungguhnya jika Engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)? Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya; Sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).”

Lokman: 25
“Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka Yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat Tauhid dan pengertian syirik).”

Az-Zumar: 38
“Dan demi sesungguhnya! jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka): “Kalau demikian, Bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang Yang mahu berserah diri.”

Az-Zukhruf: 87
“Dan demi sesungguhnya! jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)?”

Saya mentelaah beberapa tafsir, tidak ada yang menyebutkan bahawa kalimah Allah digunakan oleh orang bukan Islam sejak dahulu kala lagi untuk merujuk kepada tuhan mereka. Sebaliknya ayat-ayat di atas menunjukkan celaan Allah kepada orang-orang yang tidak beriman yang menyebut Allah di lidah tetapi hati tidak beriman bahkan mensyirikkan Allah.

Apa yang ditunjukkan oleh ayat-ayat di atas adalah satu dialog antara Rasulullah s.a.w. dan orang-orang yang tidak beriman. Berakhir dengan pengakuan bahawa Allah yang mencipta mereka, Allah yang mencipta langit dan bumi, Allah yang menurunkan hujan dan sebagainya. Tetapi tidak ditunjukkan sebutan kalimah Allah sebagai budaya orang-orang yang tidak beriman pada masa itu. Yang ditunjukkan tidak lebih daripada orang-orang yang tidak beriman menyebut kalimah Allah di bibir mereka ketika dialog berlangsung dan Allah mempersoalkan keikhlasan mereka menyebut kalimah tersebut.

Satu lagi ayat yang kadang-kadang dijadikan hujah juga adalah firman Allah di dalam surah al-Hajj; ayat 40 yang bermaksud:
“Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: “Tuhan Kami ialah Allah”. dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

Persoalan pertama tentang ayat ini, gantinama ‘fiha’ (yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya) itu merujuk kepada apa? Ulamak berselisih pandangan. Saya lebih cenderung kepada pendapat Ibnu Abbas, Imam ar-Razi dan satu pendapat di dalam tafsir Ibnu Kathir yang mengatakan gantinama itu merujuk kepada masjid sahaja.

Ada pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada semua tempat ibadah tersebut. Jadi persoalan seterusnya, tempat-tempat ibadah yang disebutkan di dalam ayat tersebut adakah merujuk kepada kuil sekarang, atau gereja sekarang, atau apa-apa rumah ibadah bukan Islam sekarang?

Al-Hasan berkata:
“Yang dimaksudkan dengan tempat-tempat ibadah yang disebutkan adalah tempat-tempat ibadah orang-orang yang beriman walau pun dinamakan dengan nama-nama yang berbeza.”

Az-Zajjaj pula berkata:
“Kalaulah tidak Allah mendorong sebahagian menentang pencerobohan golongan lain, akan musnahlah pada setiap syariat seseorang Nabi tempat di mana mereka solat. Kalaulah bukan kerana itu akan musnahlah gereja, tempat orang beriman mengerjakan solat di zaman Nabi Musa a.s., akan musnahlah rumah ibadah di zaman Nabi Isa a.a. dan akan musnahlah masjid di zaman Nabi kita, Muhammad s.a.w.”

Dengan itu, pendapat yang kuat mengatakan bahawa rumah-rumah ibadah yang disebut nama Allah dengan banyaknya adalah rumah-rumah ibadah orang-orang beriman sebelum zaman penyelewengan agama-agama langit. Bukan rumah-rumah ibadah yang dijadikan tempat ibadah oleh orang-orang yang tidak beriman.

Di dalam Bible Arab telah digunakan kalimah Allah?

Maaf, saya tidak mengiktiraf Bible yang telah diselewengkan. Kalau pun betul ada kalimah Allah di dalam Bible Arab dan telah dipakai sejak sekian lama, ia tidak akan mengubah hakikat syarak. Kaedah fiqh mengatakan ‘al-Urfu al-fasid la yughayyiru haqiqat as-Syar’ie’ uruf yang fasid (adat kebiasaan dalam hidup yang telah rosak) tidak akan mengubah hakikat syarak. Syarak ada neracanya yang tersendiri. Bible tidak turun dalam Bahasa Arab. Bahasa Arab itu adalah terjemahan dari Bible asal.

Di Indonesia dah lama guna, tidak ada masalah pun?

Itu hal orang Indonesia. Kita orang Malaysia. Di Indonesia, nyanyian ketuhanan dalam gereja pun dipanggil selawat. Doa-doa mereka dipanggil zikir. Kita nak Malaysia jadi begitu ke? Di Indonesia ada gereja yang letakkan nama Allah di atasnya. Cuba lihat gambar di bawah:

Gereja di Jawa


Adakah kita nak perkara yang sama berlaku kepada negara kita?

Di Indonesia juga mereka sebarkan risalah yang saya letakkan di bawah ini. Risalah ini adalah satu risalah yang asalnya dalam Bahasa Inggeris dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia. Saya mendapatkannya dari seorang rakan Melayu di Australia yang dihubungi oleh gerakan Kristianiasasi di Australia untuk kononnya melakukan proof read ke atas artikel yang diterjemah.

Photobucket
Photobucket

Photobucket

Photobucket


Adakah kita dengan sengaja memang mahu risalah seumpama ini sampai ke tangan anak-anak kita di sekolah rendah ketika mereka sedang menunggu bas sekolah? Adakah kita memang mahu orang Islam di Malaysia setoleransi itu? Adakah memang itu arahan agama kita?

Hari ini orang Kristian minta guna kalimah Allah dan kita beri. Lepas ni orang-orang Hindu pula minta namakan tuhan-tuhan mereka sebagai Allah dan kita beri lagi. Lepas tu mereka minta guna kalimah masjid. Lepas tu musolla. Lepas tu baitullah. Lepas tu zikir, selawat, doa (mungkin juga ma’thurat), tahajjud, sejadah, kuliah, tazkirah dan sebagainya. Boleh saudara bayangkan apa yang berlaku lepas tu?

Saya amat berharap agar semua orang Islam peka dan sensitif dengan isu ini. Kita tidak menuduh niat, tetapi kita berjaga-jaga berdasarkan petunjuk zahir. Apa yang diminta oleh mereka tidak sama dengan apa yang disembunyikan dalam hati mereka.

Saya berlepas diri daripada orang-orang Islam yang cuba mengambil hati orang-orang bukan Islam melalui isu ini.

Allahumma hal ballaghtu? Allahumma fasyhad.

Allah Tuhan semua tapi hanya orang Islam yang menyembahNya
Naib Presiden II
Ikatan Muslimin Malaysia
Sumber :
Satu Perkongsian


No comments:

Post a Comment